Sorting by

×

‘SAYA IKHLAS DEMI PAYA RUMPUT’

Masa Membaca:2 Minit, 28 Saat

Oleh: Mohd Salman Hamat dan Faris Haikal Zakaria

PAYA RUMPUT 16 Februari – Bangun seawal dinihari untuk solat Subuh berjemaah di masjid dan ‘ngeteh’ di warung tepi jalan bersama rakyat menjadi antara kerinduan yang diungkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.

Itu merupakan antara rutin yang beliau impikan apabila diberi mandat menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.

Namun, dalam mentadbir sebuah kawasan berkeluasan 47 kilometer persegi dengan bilangan penduduk kira-kira 91,000 orang ia bukanlah sesuatu yang mudah untuknya turun ke segenap kawasan setiap hari.

Ditambah lagi dengan amanah yang diberikan sebagai Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, selain membantu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mentadbir negeri, semua itu sedikit sebanyak merencatkan impiannya untuk turun ke akar umbi menyantuni rakyat.

“Mungkin ada yang kata sudah jarang nampak di kawasan, saya akui pada ketika tertentu memang benar, tetapi bukan hilang tetapi saya sebenarnya terpaksa mengorbankan masa sepatutnya diluangkan bersama rakyat di DUN Paya Rumput untuk membantu tugas pentadbiran Melaka.

“Ada mengatakan Adun lain boleh sentiasa ada di kawasan, tetapi inilah nasib atau dilema saya, selain menjaga orang Paya Rumput saya juga menjawat jawatan Exco dan perlu membantu Ketua Menteri untuk menjaga semua rakyat Melaka.

“Jangan risau sudah pasti saya sentiasa cakna terhadap orang Paya Rumput. Paya Rumput sentiasa menjadi keutamaan saya kerana ini adalah tanah tumpah darah saya,” katanya pada wawancara khas bersama Melaka Hari Ini sempena Karnival Demi Paya Rumput.

Tambah Rais, sekiranya rakyat ikhlas memilih, beliau juga berjanji akan sejuta kali ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat sekiranya terus diberi mandat di kawasan itu.

Tegas beliau, hasratnya tidak pernah luntur memberikan perkhidmatan terbaik, selain turut menekankan pentingnya persefahaman antara pemimpin dan rakyat bagi memastikan keharmonian kekal terpelihara di sesebuah kawasan.

“Saya impikan persefahaman itu ada. Saya percaya rakyat lebih tahu menilai,” katanya.

Bagi mengubat kerinduan orang Paya Rumput, Rais berkata, Karnival Demi Paya Rumput telah dianjurkan sebagai medan memupuk kebersamaan dan merapatkan ukhwah di antara pemimpin dengan rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Sebagai pemimpin prihatin Rais menganjurkan kanival itu kerana risau tidak sempat untuk melaksanakan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) berikutan khabar angin Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin kencang.

“Setiap kali WRUR di DUN lain hati saya resah dan cemburu kerana giliran Paya Rumput masih lambat. Risau jika tidak sempat kongsi kemeriahan penganjuran WRUR di DUN sendiri, jadi saya laksanakan inisiatif Karnival Demi Paya Rumput, padat dengan pelbagai aktiviti istimewa buat masyarakat di kawasan ini.

“Apa yang saya harap dan impikan adalah persefahaman antara saya sebagai pemimpin dan rakyat, bukan tidak mahu luangkan lebih masa bersama mereka tetapi tuntutan tugas membataskan saya. Saya tidak mahu nanti rakyat menyokong saya kerana terpaksa.

“Prinsip saya adalah pemimpin perlu ikhlas, demi Paya Rumput saya mahu melakukan apa sahaja yang diizikan Allah SWT, selepas ini jika rakyat beri peluang sekali lagi saya sanggup galas tanggungjawab itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

894
Kongsi :
Previous post PENDUDUK SAMBUT BAIK INISIATIF KUBUR DIGITAL