
PASTIKAN TIADA RAKYAT ‘IKAT PERUT’
PAYA RUMPUT 17 Februari – Menjaga kebajikan lebih 91,000 orang penduduk bermula daripada bayi yang masih dalam buaian hinggalah ke warga emas bukan satu tanggungjawab yang mudah untuk dipikul oleh seorang pemimpin, khususnya orang muda.
Namun bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin kesukaran dan cabaran itu dipikul dengan penuh rasa amanah kerana beliau tidak mahu menghampakan kepercayaan rakyat yang mengangkat beliau sebagai pemimpin bagi DUN berkenaan.
Bagi Rais, perkara pokok yang menjadi fokus utamanya adalah memastikan tidak ada penduduk dalam DUN Paya Rumput yang terpaksa ikat perut akibat tekanan kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
“Makanan adalah perkasa asas setiap orang, jadi saya laksanakan inisiatif amat mudah tetapi impaknya amat besar terutama buat golongan kurang berkemampuan atau B40, iaitu melakukan agihan kotak makanan yang mengandungi bahan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan gula.
“Insya-Allah inisiatif ini membantu memastikan dapur mereka kurang berkemampuan terus berasap, setiap bulan petugas Japerun Paya Rumput perlu menyediakan lebih 400 set kotak makanan dan jumlah itu tidak boleh kurang.
“Malah ada yang datang mendapatkan kit makanan secara tetap setiap bulan, menggambarkan usaha kecil ini amat dihargai dan bermakna buat yang kurang mampu.
“Alhamdulillah saya tidak berseorangan usaha ini disokong rakan penyumbang yang tidak putus-putus menghulurkan barangan keperluan untuk diagihkan kepada golongan kurang mampu,” katanya.
Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata demikian pada Wawancara Khas Sempena Karnival Demi Paya Rumput di Japerun Paya Rumput.
Pemimpin muda itu berkata, agihan kit kita makanan dilakukan tanpa mengambil kira latar belakang penerima, kerana matlamat inisiatif itu adalah untuk membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup.
“Daripada keseluruhan lebih 91,000 orang penduduk bukan semua adalah pengundi di DUN Paya Rumput, tetapi atas dasar tanggungjawab mahu berkongsi rezeki dan melaksanakan amanah kita agihkan kepada semua yang memerlukan.
“Sebagai seorang yang memikul amanah saya berasa puas kerana dapat melaksanakan tanggungjawab, lebih lagi melihat senyuman terukir pada wajah penerima kit makanan, benarlah usaha kecil ini amat menyentuh rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


