Sorting by

×

SEJUTA KENDERAAN ATAS JALAN RAYA MELAKA SELAMA SEMINGGU

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDARAYA MELAKA 16 Februari – Dianggarkan sejuta kenderaan akan berada di atas jalan raya seluruh Negeri Melaka sepanjang seminggu cuti umum sempena Tahun Baharu Cina (TBC) dan Awal Ramadan minggu ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, jumlah itu membabitkan 300,000 kenderaan yang masuk dari luar Melaka, selain kenderaan sedia ada rakyat di negeri ini.

Justeru, ujar beliau, pelbagai langkah telah diambil Kerajaan Negeri menerusi agensi penguatkuasaan bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Antara gerak kerja operasi lalu lintas yang diadakan adalah Ops TBC oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang telah bermula pada 13 Februari lalu sehingga 22 Februari ini.

“Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengadakan Op Selamat bermula 15 hingga 20 Februari, di mana ia bukan sahaja menyasarkan jalan raya, bahkan juga kawasan perumahan dan premis yang ditutup sempena cuti perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam segmen Kokenut Shake Dulu di MelakaFM bagi membicarakan mengenai aliran trafik di Melaka sempena Tahun Baharu Cina.

Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati sepanjang berada di atas jalan raya terutamanya di lokasi kerap berlaku kemalangan.

Jelas beliau, di Melaka terdapat 10 lokasi ‘hotspot’ kemalangan maut, antaranya di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ); Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA); Jalan Banda Hilir-Klebang; Jalan Gapam-Bemban; Jalan Tehel-Bemban; Jalan Sungai Udang-Lubok China; Jalan Alor Gajah-Tampin dan Jalan Merlimau-Jasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

438
Kongsi :
Previous post RM2 SEHARI TINGGAL PUASA DI MELAKA
Next post SWM ENVIRONMENT KONGSI KEGEMBIRAAN TAHUN BAHARU CINA BERSAMA WARGA EMAS