Sorting by

×

SWM ENVIRONMENT KONGSI KEGEMBIRAAN TAHUN BAHARU CINA BERSAMA WARGA EMAS

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BUKIT KATIL 16 Februari – SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi penganjuran Program SWM Kasih: Misi Sampul Merah sempena Tahun Baharu Cina 2026.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Norlisam Mohd Nordin berkata, sempena perayaan kali ini, pihaknya memilih untuk berkongsi kegembiraan bersama golongan warga emas yang kurang bernasib baik agar mereka turut merasai kemeriahan perayaan dalam suasana penuh kasih sayang.

Menurutnya, menerusi program itu, seramai 18 warga emas di Rumah Sejahtera Bukit Baru, Kampung Bukit Pulau telah disantuni.

“Program ini merupakan inisiatif tahunan SWM Environment sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap kebajikan golongan warga emas yang memerlukan menjelang musim perayaan,” katanya.

Menurut beliau, program SWM Kasih Santun itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia (MPKSM) Negeri Melaka, Daerah Melaka Tengah dan telah diserikan dengan kehadiran Pengerusi MPKSM Negeri Melaka Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

“Melalui pelaksanaan Program SWM Kasih: Misi Sampul Merah, kami sentiasa komited menghulurkan bantuan kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Usaha ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban, malah memperkukuh nilai kemanusiaan sejajar dengan usaha menyokong agenda kesejahteraan rakyat dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk, seiring dengan aspirasi pembangunan sosial yang inklusif.

“SWM Environment sedia tampil dalam menyokong inisiatif kebajikan yang memberi manfaat langsung kepada golongan warga emas yang memerlukan. Diharapkan sumbangan ini dapat membawa keceriaan dan membantu para penerima menyambut Tahun Baharu Cina dalam suasana yang lebih bermakna,” katanya lagi.

Tambah beliau, sebagai syarikat konsesi bagi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan turut menghargai kerjasama semua pihak dalam mengekalkan kebersihan persekitaran dan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan bersama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

296
Kongsi :
Previous post SEJUTA KENDERAAN ATAS JALAN RAYA MELAKA SELAMA SEMINGGU
Next post OPS SARANG ‘JERAT’ DUA TOKAN DADAH LADANG KELAPA SAWIT