
SEJATI MADANI BANTU 4 USAHAWAN TANAH MERAH BERKEMBANG
PAYA RUMPUT 20 Februari – Empat usahawan di Kampung Tanah Merah menerima manfaat menerusi Geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bagi memperkukuh dan mengembangkan perniagaan masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanah Merah Masri Sarif berkata, antara projek terlibat ialah ternakan ayam, kedai makan, ternakan lembu serta perusahaan jagung sejuk beku (frozen).
Menurutnya, jumlah peruntukan yang diterima setiap usahawan adalah berbeza bergantung kepada jenis dan keperluan perniagaan masing-masing.
“Kita tidak beri sama rata, peruntukan adalah mengikut kesesuaian projek. Paling tinggi adalah RM50,000 bagi projek ternakan lembu kerana ia memerlukan modal lebih besar.
“Bagi projek lain seperti ternakan ayam, kedai makan dan jagung frozen, jumlahnya berbeza mengikut skop dan perancangan perniagaan mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas perkembangan terkini, Masri berkata setakat ini keempat-empat usahawan terbabit menunjukkan perkembangan positif dan mula menjana pendapatan bulanan.
“Kalau ikutkan, saya rasa berbaloi kerana mereka sudah mula memperoleh pendapatan. Contohnya ternakan ayam, mereka sudah dua kali menuai hasil.
“Walaupun tidak besar, anggaran pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 bagi satu pusingan, namun ia satu permulaan yang baik,” katanya.
Katanya, menerusi inisiatif SejaTi MADANI, para usahawan terlibat bukan sahaja menerima suntikan modal malah berpeluang mengembangkan perniagaan dan meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
“Selain empat projek terbabit, kampung ini turut mempunyai beberapa usahawan lain termasuk dalam bidang bakeri yang berpotensi untuk dibangunkan pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


