Sorting by

×

20 FEBRUARI 1956: SIMBOL KESEPADUAN RAKYAT BINA NEGARA BANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDA HILIR 20 Februari – Pengorbanan serta kesukaran yang ditempuhi pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan, meskipun tanpa pertumpahan darah, perlu dijadikan inspirasi dalam memastikan negara kekal aman dan harmoni.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud berkata, antara yang menjadi inspirasi adalah peristiwa bersejarah kepulangan rombongan kemerdekaan dari London pada 20 Februari 1956.

Katanya, peristiwa itu telah menjadi simbol kesepaduan rakyat pelbagai kaum dalam membina asas sebuah negara bangsa yang berdaulat.

“Detik pengumuman tarikh kemerdekaan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Padang Banda Hilir kira-kira 70 tahun lalu wajar terus dimaknai dan dihayati generasi masa kini.

“Bukan mudah untuk mengekalkan kemerdekaan ini jika tidak disulami dengan penghayatan dan keinsafan dalam diri setiap warganegara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jejak 20 Februari 1956: Perjuangan dan Pengorbanan Rakyat Menggapai Kemerdekaan Negara Bangsa di Masjid Selat Melaka, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Perpaduan Negara Datuk Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pengarah Arkib Negara Zaidin Mohd Noor serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Mohamad Sobri berkata, patriotisme bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau menyanyikan lagu kebangsaan, sebaliknya menuntut rasa tanggungjawab untuk menjaga negara, saling membantu serta bertoleransi antara satu sama lain.

“Seperti ungkapan tokoh pejuang negara, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, ‘Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka, bersatu padulah segenap baka, membela hak keadilan pusaka’.

“Ia sebagai azimat untuk mempertahankan kemerdekaan dengan semangat patriotisme dan perpaduan yang jitu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

581
Kongsi :
Previous post DEWAN HANG TUAH BERWAJAH BAHARU, LOKASI IDEAL PELBAGAI MAJLIS
Next post MELAKA RAI WIRA NEGARA SEMPENA 20 FEBRUARI