Sorting by

×

PROGRAM REPATRIASI MIGRAN 2.0 KUTIP RM94 JUTA – SAIFUDDIN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 5 Mac – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengutip kira-kira RM94 juta kompaun melalui pelaksanaan Program Repatriasi Migran 2.0 sejak ia dilaksanakan bermula 19 Mei tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kehadiran Ramadan dan sambutan Aidilfitri dijangka terus meningkatkan penyertaan warga asing untuk tampil secara sukarela menyertai program berkenaan.

Katanya, kebiasaannya dalam tempoh Ramadan hingga menjelang Aidilfitri, lebih ramai warga asing mengambil peluang untuk pulang ke negara asal secara sah.

“Sejak 19 Mei 2025 hingga 3 Mac 2026, seramai 187,858 warga asing daripada 106 negara telah menyertai program ini dan kita telah mengutip RM94 juta hasil bayaran kompaun melaluinya.

“Kalau ikut prosedur biasa, kesalahan ini boleh membawa kepada penahanan dan hukuman penjara. Tetapi melalui program ini, mereka hanya perlu membayar kompaun RM500 dan dibenarkan pulang tanpa tindakan pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai dan Majlis Iftar bersama Menteri Dalam Negeri anjuran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kompleks KDN, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban dan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Saifuddin berkata, program tersebut memberi peluang kepada warga asing yang tinggal lebih masa atau tidak memiliki dokumen sah untuk tampil secara sukarela tanpa perlu melalui proses pendakwaan atau penahanan.

Menurutnya, pada tahun lalu sahaja kerajaan berjaya mengutip RM65 juta kompaun melalui pelaksanaan program sama hasil penyertaan warga asing yang memilih untuk pulang secara teratur.

“Antara kesalahan utama yang diselesaikan menerusi program itu ialah tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan sah di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama.

“Ia membabitkan pelbagai warganegara, dengan antara yang tertinggi terdiri daripada Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Thailand,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

859
Kongsi :
Previous post MELAKA IKTIRAF KEPEDULIAN BADAN KORPORAT TERHADAP ASNAF