Sorting by

×

PENGUNJUNG MENARA TAMING SARI MENINGKAT TIGA KALI GANDA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDA HILIR 7 Mac – Menara Taming Sari menerima peningkatan ketara jumlah pengunjung sehingga 4,000 orang sehari sepanjang minggu cuti persekolahan dan Sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding hari biasa yang hanya mencatatkan sekitar 1,500 pengunjung sehari.

Katanya, peningkatan itu mula direkodkan sejak hari pertama cuti persekolahan dan perayaan berkenaan apabila ramai pelancong tempatan dan luar negara mengambil kesempatan bercuti di Melaka.

“Menara Taming Sari terus menjadi antara lokasi pilihan pengunjung kerana kita menawarkan pengalaman melihat panorama Bandaraya Melaka dari ketinggian 80 meter selain kedudukannya yang strategik di kawasan pelancongan Banda Hilir.

“Sepanjang tempoh cuti selama seminggu itu, kawasan sekitar Banda Hilir turut dilihat meriah dengan kehadiran pelancong yang datang bersama keluarga bagi menikmati pelbagai tarikan pelancongan yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Img 20260306 wa0115
NUR AZAN

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Infaq Agihan Bubur Lambuk di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan dan turut hadir Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) Madeline Kuah Wey Lee serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Nur Azan berkata peningkatan jumlah pengunjung tersebut sekali gus menunjukkan sektor pelancongan Melaka terus menerima sambutan positif, khususnya pada musim cuti perayaan.

“Pada bulan Ramadan kita memang sudah jangka sambutan agak pasif namun kita akan kembali aktif pada Aidilfitri sehingga hujung tahun nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

647
Kongsi :
Previous post MELAKA ANTARA 4 NEGERI BANGUNKAN HOTEL WAKAF