TIGA ASPEK UTAMA PERKASA JELITA – TPM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Tiga aspek utama merangkumi keperluan industri, laluan selepas latihan serta penilaian perubahan kehidupan peserta perlu diberikan perhatian bagi terus memperkasa inisiatif Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement (JELITA).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketiga-tiga aspek itu juga penting bagi memastikan JELITA bukan sekadar menawarkan latihan, sebaliknya membuka peluang kepada peserta untuk maju dalam kerjaya dan perniagaan.

Menurutnya, latihan perlu dipacu permintaan industri dengan melibatkan syarikat, pemain teknologi dan badan profesional dalam pembangunan modul serta penentuan kompetensi supaya kemahiran yang diajar memenuhi keperluan ekonomi semasa serta masa hadapan.

“Peserta juga perlu dihubungkan dengan peluang pekerjaan, latihan lanjutan, mentor, pembiayaan atau akses pasaran mengikut keperluan masing-masing bagi memastikan mereka mempunyai laluan jelas selepas menamatkan latihan.

“‘Training must lead somewhere’. Setiap peserta perlu tahu langkah seterusnya dan pihak yang boleh membimbing mereka untuk maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup JELITA Latihan Pecutan Intensif 12 Jam di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek; Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Penasihat TVET JELITA Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari serta Naib Canselor UTeM Prof Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin.

Ahmad Zahid yakin JELITA berpotensi berkembang menjadi ekosistem kemajuan wanita dalam kemahiran sekali gus memberi ruang kepada golongan itu menyumbang kepakaran dan bakat mereka kepada pembangunan negara.

“Tanggungjawab kita bersama adalah memastikan setiap usaha belajar mempunyai laluan untuk membuahkan hasil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

429
Kongsi :
Previous post ‘JELITA’ BUKA LALUAN WANITA KUASAI KEMAHIRAN DALAM 12 JAM