KEMAS PERLU BERUBAH, JANGAN SEKADAR LAKSANA PROGRAM – TPM

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 Oktober – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu mengubah pendekatan pembangunan masyarakat dengan mengutamakan impak sebenar kepada rakyat, bukan sekadar pencapaian berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu perlu berpaksikan tiga teras utama iaitu memperkukuh kerangka dasar, memperluas libat urus serta menilai keberkesanan program berdasarkan perubahan yang dicapai dalam kehidupan masyarakat.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pembentukan Kerangka Dasar Kemajuan Masyarakat perlu menjadi keutamaan dengan menggabungkan dapatan daripada tujuh kluster ke dalam satu kerangka yang menetapkan keutamaan, sasaran dan tindakan yang boleh diukur.

“Teras kedua ialah memperluas libat urus. Jangan menggubal dasar berdasarkan andaian, sebaliknya dengar pandangan penggerak KEMAS, pemimpin komuniti, ahli akademik, sektor swasta dan rakyat sendiri.

“Dasar yang baik mesti berpijak pada realiti kehidupan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Kemajuan Masyarakat KEMAS Tahun 2026 di sebuah hotel di Jalan Bendahara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata, teras ketiga ialah mengubah ukuran kejayaan dengan memberi tumpuan kepada hasil yang benar-benar dirasai rakyat, termasuk peningkatan pendapatan, kesejahteraan keluarga dan keupayaan komuniti untuk berdikari.

“Jangan hanya menghitung jumlah program, peserta atau peruntukan yang dibelanjakan, sebaliknya ukur perubahan sebenar yang berlaku dalam kehidupan masyarakat,” katanya.

Beliau menegaskan konvensyen berkenaan tidak seharusnya berakhir sebagai medan perbincangan semata-mata, sebaliknya perlu menghasilkan hala tuju pembangunan yang jelas berserta tindakan susulan, tanggungjawab pelaksanaan dan mekanisme pemantauan yang tersusun.

“Jangan biarkan resolusi hanya tinggal di atas kertas. Jadikan ia dasar, gerakkan tindakan dan buktikan hasilnya kepada rakyat.

“Saya mahu KEMAS terus berada di barisan hadapan perubahan ini dan jangan sekadar menjadi pelaksana program, tetapi jadilah pencetus perubahan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan usaha pembangunan masyarakat bukan hanya dinilai berdasarkan apa yang berjaya dibina pada hari ini, tetapi juga melalui keupayaan melahirkan generasi yang mampu membawa bangsa dan negara ke tahap lebih baik pada masa hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

377
Kongsi :
Previous post NAIK TARAF BULATAN LUBOK CHINA DALAM PROSES LANTIK KONTRAKTOR
Next post ‘JELITA’ BUKA LALUAN WANITA KUASAI KEMAHIRAN DALAM 12 JAM