
ANGGOTA ‘F.RON.T’ MBMB BERTUGAS 24 JAM TANGANI KES KECEMASAN
AYER KEROH 19 Mac – Unit First Response Team (F.RON.T) Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) beroperasi 24 jam setiap hari bagi memastikan setiap aduan kecemasan dan bencana dapat ditangani dengan segera.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, pasukan itu sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi pelbagai situasi termasuk banjir, pokok tumbang serta kemalangan di kawasan pentadbirannya.
“Kita ada anggota FRONT MBMB yang berkhidmat 24 jam setiap hari. Sekiranya berlaku kecemasan anggota ini akan terus bertindak.
“Orang awam boleh menghubungi hotline unit FRONT di talian 06-2826699 untuk sebarang aduan berkaitan kemalangan, kecemasan dan bencana, yang beroperasi sepanjang masa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MBMB yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, pada Selasa.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Shadan memaklumkan anggota FRONT ditempatkan mengikut jadual berkala selain melakukan rondaan di kawasan yang ditetapkan.
“Anggota ini mempunyai jadual berkala serta ditempatkan di stesen tertentu dan mereka juga akan membuat lawatan di setiap kawasan.
“Bagaimanapun, sekiranya berlaku kecemasan, orang awam boleh terus menghubungi hotline untuk tindakan segera,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


