Sorting by

×

MELAKA PERKENAL SISTEM eDUN JULUNG KALI APRIL INI

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA LINGGI 26 Mac – Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas yang dijadual pada penghujung April ini bakal memperkenalkan sistem eDUN secara rasmi buat julung kalinya.

Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum berkata, eDUN merupakan satu lagi inisiatif digital yang dapat melicinkan pentadbiran Kerajaan Negeri dan persidangan dewan.

Jelas beliau, menerusi pengenalan sistem tersebut, segala proses penghantaran soalan dan jawapan lisan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian sebelum persidangan penggal kelima bermula pada 24, 27, 28 dan 29 April ini.

“Menerusi sistem ini, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) perlu mengemukakan soalan lisan bermula 30 Mac ini sebelum ditapis dan disusun semula.

“Ini merupakan kali pertama kita menggunakan sistem eDUN ini di mana semua soalan dan jawapan dihantar secara dalam talian.

“Langkah ini merupakan satu transformasi yang dapat memudah serta melincinkan perjalanan persidangan dewan, selain turut membantu pihak media mendapatkan maklumat dengan lebih pantas,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kuala Linggi di Japerun Kuala Linggi, di sini, malam tadi.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman dan hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ibrahim tidak menolak pengenalan sistem baharu itu mungkin berdepan berdepan beberapa kekangan dan cabaran pada peringkat awal, namun beliau optimis, segala kekurangan dapat diatasi dari semasa ke semasa.

“Ini adalah permulaan dan kita jangka akan ada sedikit kelemahan, namun ia akan ditambah baik bagi memastikan kelancaran pada masa akan datang.

“Pelaksanaan sistem eDUN ini juga selari dengan usaha pendigitalan Kerajaan Negeri selain mengurangkan penggunaan kaedah manual dalam pengurusan persidangan dewan,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post RUMAH TERBUKA AIDILFITRI KUALA LINGGI DISERBU, 10 EKOR KAMBING GOLEK ‘PIKAT’ TETAMU
Next post 9 SEKOLAH DUN KESIDANG TERIMA SUMBANGAN RM45,000