Sorting by

×

DUN TABOH NANING TUMBANG LEMBU BUAT TETAMU RUMAH TERBUKA AIDILFITRI 29 MAC INI

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TABOH NANING 26 Mac – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning akan menyajikan pelbagai juadah ‘lauk kampung’ yang dijangka diadakan pada 29 Mac ini di Japerun Taboh Naning.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, pihaknya menyediakan juadah buat lebih 8,000 pengunjung yang dijangka akan memeriahkan majlis rumah terbuka itu nanti.

Katanya, lebih istimewa lagi, seekor lembu akan ditumbangkan untuk majlis tersebut dan semua juadah akan dimasak bersama-sama masyarakat setempat dalam sesi ‘rewang’.

“Antara menu lauk kampung kita akan sajikan adalah resepi istimewa nasi gulai kawah serta beberapa lagi juadah lauk pauk untuk dinikmati tetamu.

“Saya jemput semua orang Melaka khususnya dalam DUN Taboh Naning untuk memeriahkan majlis rumah terbuka ini nanti

“Majlis yang berlangsung dari jam 8 malam hingga 11 malam di Japerun Taboh Naning itu telah siap sepenuhnya dari segi perancangan termasuk penyediaan menu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kuala Linggi yang dianjurkan bersama Speaker DUN di Japerun Kuala Linggi, di sini pada Rabu.

Zulkiflee yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri itu berkata, parkir awam di padang bola bersebelahan Japerun Taboh Naning turut disediakan bagi melancarkan pergerakan pengunjung nanti.

Tambahnya, sambutan majlis rumah terbuka itu mencerminkan keterujaan masyarakat setempat untuk bersama-sama meraikan hari raya dalam suasana muhibah.

“Penganjuran rumah terbuka ini bukan sahaja menjadi platform menjamu selera, malah medan mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan.

“Ini antara acara yang dinanti-nantikan penduduk setempat untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

484
Kongsi :
Previous post POSKAD EDlSl KHAS PERCUMA UNTUK 500 PENGUNJUNG PAMERAN SETEM
Next post DAYANG NURFAIZAH, SENARIO BAKAL GAMATKAN RUMAH TERBUKA MELAKA SAYANG RAKYAT