
DAYANG NURFAIZAH, SENARIO BAKAL GAMATKAN RUMAH TERBUKA MELAKA SAYANG RAKYAT
AYER KEROH 26 Mac – Barisan artis popular tanah air bakal mewarnai sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat pada Sabtu ini (28 Mac).
Bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, antara barisan artis terkenal yang bakal menghiburkan pengunjung adalah Dayang Nurfaizah dan Senario.
Selain itu, turut dibawakan Yasser Atak, Roger Kajol dan P. Radhi serta pelbagai persembahan istimewa lain dibawakan artis budaya Badan Warisan Seni Melaka.
Bertemakan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), sambutan tahun ini bakal mengetengahkan keunikan Melaka sebagai sebuah negeri yang mementingkan perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum.
Acara tradisi itu juga diteruskan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada seluruh rakyat yang banyak memberi sokongan sehingga pelbagai kejayaan berjaya diraih negeri ini.
Disasarkan 40,000 pengunjung bakal memenuhi perkarangan MITC bagi acara itu dengan lebih 50 juadah bakal disajikan kepada orang ramai.
Sebanyak tiga tempat letak kenderaan turut disediakan Kerajaan Negeri bagi memudahkan tetamu yang hadir iaitu perkarangan Masjid Al-Alami MITC; perkarangan Mydin Ayer Keroh dan perkarangan Lingkaran MITC.
Mereka yang meletak kenderaan jauh dari lokasi sambutan tidak perlu risau kerana Kerajaan Negeri telah menyediakan tiga bas dan dua van perantara dengan kekerapan 10 minit bagi memudahkan akses ke venue rumah terbuka itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


