
MELAKA TELITI, TUNGGU ARAHAN PELAKSANAAN BEKERJA DARI RUMAH
BANDARAYA MELAKA 27 Mac – Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR), kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad.
Azhar ketika mengulas lanjut berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu yang kini sedang pada peringkat penelitian dan perbincangan oleh Kerajaan Negeri.
“Kita menyambut baik cadangan itu namun masih lagi meneliti dan menunggu arahan selanjutnya. Melaka tidak boleh laksanakan sendiri kerana perkara ini belum lagi mendapat arahan daripada pihak yang berkenaan secara khusus,” katanya ketika ditemui media selepas bersiaran langsung pada program Kokenut Shake Dulu di MelakaFM, hari ini.
Menurut beliau, inisiatif pelaksanaan BDR bukan sesuatu yang baharu memandangkan kaedah itu pernah dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 sebelum ini.
“Walaupun bagaimanapun apa sahaja usaha kearah penjimatan, kebaikan dan kebajikan penjawat awam khususnya kita sokong termasuk dalam situasi keadaan cuaca sekarang.
“Malah untuk sektor swasta itu pilihan mereka tetapi kita menggalakkan, namun begitu bukan semua bidang sesuai bagi pelaksanaan BDR,” katanya.
Jelasnya, Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan semasa serta mengadakan perbincangan lanjut sebelum sebarang keputusan mengenai pelaksanaan BDR dibuat.
Terdahulu media melaporkan, Kerajaan sedang mempertimbangkan langkah tambahan termasuk menetapkan peraturan kerja yang lebih anjal seperti pelaksanaan BDR secara berperingkat bagi penjawat awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam selain menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


