Sorting by

×

KILANG KOPI DAN BISKUT HILANG STATUS HALAL, GUNA BERUS DISAHKAN BULU BABI

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 April – Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebuah kilang kopi dan biskut di Melaka ditarik selepas penemuan penggunaan peralatan pembersihan yang tidak mematuhi piawaian halal.

Penemuan itu diperolehi hasil pemeriksaan oleh Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada Januari lalu yang mendapati pekerja kilang menggunakan berus berasaskan bulu haiwan bagi mencuci peralatan pemprosesan makanan.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, kilang berkenaan merupakan pemegang sijil halal sah yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan telah beroperasi lebih 10 tahun.

Katanya, hasil penemuan tersebut, berus berkenaan dirampas untuk dianalisis oleh Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Menurutnya, keputusan analisis yang diterima pada Mac lalu mengesahkan berus berkenaan mempunyai ciri fizikal bulu babi, sekali gus menyebabkan sijil halal kilang tersebut ditarik serta-merta.

“Alasan diberikan pihak kilang bahawa mereka tidak mengetahui kesalahan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan tidak boleh diterima.

“Setiap pemegang sijil halal wajib mematuhi piawaian yang ditetapkan dan memastikan semua aspek operasi sentiasa berada dalam kawalan,” katanya.

Tambah beliau, JAIM akan terus memperketat pemantauan terhadap premis pemegang SPHM bagi memastikan integriti pensijilan halal sentiasa terpelihara.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan umat Islam supaya lebih peka dalam memilih produk makanan dengan mengutamakan barangan yang mempunyai pensijilan halal sah.

“Pensijilan halal bukan sahaja menjamin hukum, malah memastikan aspek kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa dipantau,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1791
Kongsi :
Previous post IMAM DIUJI MASALAH SARAF DI KEPALA, MAIM HADIR HULUR BANTUAN