Sorting by

×

DUA MUZIUM MELAKA TERIMA PENGIKTIRAFAN ‘SILVER’ MYTQA

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 18 April – Dua muzium di bawah seliaan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menerima Sijil Anugerah Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) kategori Silver pada 15 April 2026.

Muzium berkenaan ialah Muzium Sejarah dan Etnografi serta Muzium Istana Kesultanan Melaka, yang masing-masing menerima sijil tersebut sekali gus mengiktiraf pematuhan terhadap standard kualiti pelancongan yang ditetapkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah berkata, pengiktirafan itu diberikan berdasarkan beberapa kriteria penilaian termasuk kemudahan kepada pengunjung, tahap keselesaan serta kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

“Selain itu, aspek seperti kemudahan asas seperti tandas OKU, penyaman udara serta keselesaan keseluruhan pengunjung turut menjadi antara faktor penilaian utama MyTQA dan kedua-dua muzium ini berjaya memenuhi piawaian ditetapkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Erne, PERZIM kini menyasarkan penambahbaikan berterusan termasuk menaik taraf kemudahan dan pameran digital, selain merancang untuk mencalonkan Muzium Hang Tuah Centre bagi penilaian MyTQA akan datang.

Katanya, pusat berkenaan sedang giat menjalani kerja naik taraf bagi memenuhi keperluan tambahan yang ditetapkan dengan sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya kategori Gold pada penilaian seterusnya.

“Selepas ini kita menyasarkan pengiktirafan Gold. Justeru, penambahbaikan akan terus dilakukan termasuk kemudahan surau dan kafe bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.

“Pengiktirafan seperti MyTQA bukan sahaja meningkatkan kualiti perkhidmatan, malah memberi keyakinan kepada pengunjung bahawa produk pelancongan di Melaka berada pada tahap berkualiti dan wajar menjadi pilihan utama pelawat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

670
Kongsi :
Previous post MPJ BINA BAHARU 5 RUMAH, 47 DIBAIK PULIH DI BAWAH PPKB
Next post WRUR MACHAP JAYA BUKA TIRAI PENUH MERIAH