Sorting by

×

WIFI PERCUMA RAPATKAN JURANG DIGITAL ORANG ASLI ASAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

ASAHAN 20 April – Kira-kira 500 penduduk di empat Kampung Orang Asli (KOA) bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan kini menikmati kemudahan WiFi percuma yang disediakan di setiap balai raya perkampungan terbabit.

Inisiatif itu merupakan antara usaha dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan merangkap Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dalam merapatkan jurang teknologi dan kemodenan untuk masyarakat Orang Asli.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKOA) Kampung Baru Orang Asli Gapam Mizan Ulai, inisiatif itu nyata memberi manfaat besar kepada masyarakat Orang Asli, khususnya pelajar untuk mendapatkan akses pembelajaran dengan lebih baik.

Jelas beliau, di bawah DUN Asahan terdapat empat KOA iaitu KOA Jus Terentang; KOA Bukit Seraya; KOA Gapam Baru dan KOA Air Sialang, di mana kesemua balai raya di kampung tersebut telah dilengkapi kemudahan internet secara percuma.

“Keprihatinan wakil rakyat kawasan terhadap masayarakat Orang Asli memang amat kami hargai kerana selain WiFi percuma yang disediakan di balai raya, segala kemudahan juga lengkap.

“Ini termasuklah kemudahan utiliti seperti elektrik dan air, selain infrastruktur asas seperti jalan raya dan kemudahan awam lain juga sentiasa diberi perhatian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Mizan, selain kemudahan dan infrastruktur, perkampungan Orang Asli di bawah DUN Asahan juga bakal membangun apabila terdapat perancangan untuk menjadikan kawasan itu sebagai sebuah tarikan pelancongan baharu.

Jelasnya, antara perancangan yang dirangka adalah mewujudkan Perkampungan Budaya Orang Asli pertama negara setanding dengan Perkampungan Budaya Maori di Taupo, New Zealand.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

414
Kongsi :
Previous post ‘NGOCA’ DIANGKAT TARIKAN PELANCONGAN MACHAP JAYA
Next post FASA PERTAMA KOMPLEKS WARISAN JAWA MELAKA SIAP HUJUNG TAHUN INI