Sorting by

×

KAJIAN 3 TAHUN MBMB BERI IMPAK KESEJAHTERAAN WARGA BANDARAYA

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PENGKALAN BATU 19 April – Kajian selama tiga tahun yang dijalankan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam meningkatkan kesejahteraan warga bandaraya terbukti berkesan dan membawa impak besar.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, program berasaskan kajian itu telah dilaksanakan di tiga lokaliti iaitu Rumah Awam Pantai Peringgit, Rumah Pangsa Pantai Peringgit dan Kampung Morten bagi memahami serta mendapat gambaran jelas terhadap keperluan sebenar komuniti di kawasan berkenaan.

Menurutnya, hasil dapatan kajian tersebut telah diterjemahkan kepada beberapa intervensi yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.

“Projek ini telah dilaksanakan sejak tiga tahun lalu dan akhirnya kita dapat buktikan pada dapatan kajian tersebut ada beberapa kehendak yang daripada masyarakat ini akan ditunaikan oleh program ini.

“Antara dapatan kajian mendapati Rumah Pangsa Pantai Peringgit berdepan isu kepanasan bangunan yang memberi kesan kepada kehidupan seharian penduduk.

“Justeru, pihak konsultan bersama rakan strategik telah melaksanakan penambahbaikan termasuk menggunakan cat berteknologi pemantul haba sumbangan AkzoNobel bagi membantu mengurangkan suhu dalaman bangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui dalam Program Dari Komuniti Untuk Komuniti: Komuniti Cakna Pantai Peringgit Sejahtera di Rumah Pangsa Pantai Peringgit, di sini, semalam.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin.

Dalam pada itu, Shadan berkata, bagi Rumah Awam Pantai Peringgit pula, dapatan kajian menunjukkan kawasan tersebut berisiko banjir dan memerlukan lokasi penempatan sementara ketika berlaku bencana.

“Sehubungan itu, Dewan Serbaguna Rumah Awam Pantai Peringgit akan dinaik taraf menerusi program ini dan ia berfungsi sebagai salah satu lokasi sesuai untuk dijadikan pusat penempatan sementara mangsa banjir di kawasan sekitar,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

442
Kongsi :
Previous post MATTA FAIR 2026 KETENGAH KEMPEN ‘WOW MELAKA’
Next post PROMOSI RANCAK, EKONOMI PELANCONGAN MELAKA TERUS BERKEMBANG