Sorting by

×

FESTIVAL SUNGAI MELAKA 2026 BERLANGSUNG 4 BULAN, JELAJAH 3 DAERAH

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

DUYONG 19 April – Festival Sungai Melaka 2026 akan berlangsung lebih meriah dengan pelbagai pengisian menarik bakal diadakan selama empat bulan bermula Jun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, istimewanya festival kali ini akan diadakan di kesemua tiga daerah dalam Negeri Melaka.

Jelas beliau, acara pembukaan festival itu adalah Kejohanan Golf Terbuka Piala PPSPM yang akan diadakan di Tiara Melaka Golf & Country Club pada 6 Jun.

“Selain itu, di utara Melaka iaitu daerah Alor Gajah kita akan adakan Perarakan Perahu Berhias dengan kerjasama Japerun Ayer Limau dan Kuala Linggi.

“Manakala di daerah Jasin kita ada Eco Cruise Tasik Chinchin dan akan bekerjasama dengan Japerun Rim bagi program menarik yang akan dirangka,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Sambutan Hari Raya PPSPM di Dataran Pengkalan Rama, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Shaharul Azuar memaklumkan di daerah Melaka Tengah pula bakal diadakan pertandingan memancing dan perlumbaan perahu naga di Sungai Melaka, selain acara perasmian penutup.

“Jadi, kita menjemput semua rakyat Melaka dan pelancong untuk memeriahkan pelbagai acara yang kita rangka bermula Jun, Julai, Ogos dan September bersempena Festival Sungai Melaka ini,” katanya.

/END

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

480
Kongsi :
Previous post MELAKA SANJUNG JASA GURU SRA JAIM PACU KECEMERLANGAN PENDIDIKAN AGAMA
Next post PPBAPM MELAKA WIRA KOMUNITI TAK DIDENDANG