
DUA INISIATIF PERKUKUH DAYA TAHAN KOMUNITI PANTAI PERINGGIT
PENGKALAN BATU 19 April – Dua inisiatif utama diperkenalkan bagi memperkukuh daya tahan komuniti Pantai Peringgit dalam menghadapi cabaran perubahan iklim termasuk gelombang haba dan risiko banjir, khususnya di kawasan Rumah Pangsa dan Rumah Awam Pantai Peringgit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan komuniti yang berdepan risiko berkenaan.
“Antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah mengecat semula bangunan Rumah Pangsa Pantai Peringgit menggunakan cat berteknologi pemantul haba.
“Langkah ini bukan sahaja memperindah persekitaran, malah memberi impak besar dalam mengurangkan suhu dalaman bangunan, sekali gus meningkatkan keselesaan penghuni dan menyumbang kepada usaha mitigasi fenomena ‘urban heat island’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Dari Komuniti Untuk Komuniti: Komuniti Cakna, Pantai Peringgit Sejahtera di Rumah Pangsa Pantai Peringgit, di sini, semalam.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Kalsom yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, projek tersebut turut diserikan dengan penghasilan mural komuniti yang bukan sahaja mencantikkan persekitaran, malah menjadi simbol identiti, kebanggaan dan suara komuniti setempat.
Tambah beliau, satu lagi inisiatif penting ialah pengaktifan semula Dewan Serbaguna Rumah Awam Pantai Peringgit sebagai aset komuniti yang lebih dinamik dan strategik.
“Melalui pendekatan ini, dewan berkenaan akan berfungsi sebagai ruang ‘place activation’ yang menghidupkan interaksi komuniti, ruang sosial inklusif yang menghubungkan pelbagai lapisan masyarakat serta pusat tindak balas ketika berlakunya bencana seperti banjir dan gelombang haba,” jelasnya.
Katanya lagi, kejayaan pelaksanaan projek itu adalah hasil kerjasama MBMB Resilient Cities Network, Z Zurich Foundation, Zurich Malaysia, Lembaga Perumahan Melaka, Nanyang Technological University, Urban Scale Studios Sdn. Bhd. dan AkzoNobel serta penduduk Pantai Peringgit.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


