
TIADA KEPERLUAN TANGGUH PRN MELAKA – KM
KLEBANG 21 April – Kerajaan Negeri tidak melihat adanya keperluan untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana tiada asas kukuh untuk berbuat demikian selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) telah ditetapkan berakhir pada Disember tahun ini.
Justeru, jelas beliau, berdasarkan peruntukan sedia ada, pilihan raya negeri boleh diadakan pada bila-bila masa bermula Mei sehingga tamat tempoh tersebut.
“Saya tidak nampak keperluan untuk menangguhkan pilihan raya ini kerana asasnya tidak cukup untuk menyokong cadangan tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Enrique of Malacca Shipyard di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Ketua Pegawai Eksekutif Straits of Melaka Waterfront Economic Zone Corporation (SM-WEZ) Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz dan Pengarah Desan Shipyard, Cenk İsmail Kaptanoğlu.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka memaklumkan Kerajaan Negeri sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa selaras dengan peruntukan Perlembagaan.
Fokus utama, jelas beliau adalah memastikan segala persiapan berjalan lancar demi menjamin proses demokrasi dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan bercadang membawa usul untuk menangguhkan PRN Johor dan Melaka ke Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


