Sorting by

×

‘ENRIQUE OF MALACCA SHIPYARD’ SIMBOL KERJASAMA MALAYSIA–TURKIYE

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KLEBANG 21 April – Projek pembangunan Enrique of Malacca Shipyard menjadi simbol pengukuhan hubungan maritim Turkiye dan Malaysia yang kini semakin berkembang pesat.

Pengarah Desan Shipyard Cenk İsmail Kaptanoğlu berkata, projek itu bukan sahaja menandakan permulaan sebuah limbungan kapal baharu, malah membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, projek berkenaan mencerminkan visi global syarikat serta pengukuhan hubungan dalam industri maritim Malaysia–Turkiye.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, semua agensi kerajaan yang terlibat serta Straits of Melaka Waterfront Economic Zone Corporation (SM-WEZ) selaku rakan kongsi dan pemegang saham atas sokongan padu dalam merealisasikan projek ini.

“Projek ini bukan sekadar pelaburan, tetapi kesinambungan kepada hubungan maritim bersejarah yang telah terjalin lebih 500 tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Enrique of Malacca Shipyard yang disempurnakan oleh Ab Rauf di Klebang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong dan Ketua Pegawai Eksekutif SM-WEZ Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz.

Menurutnya, nama projek berkenaan diinspirasikan daripada Enrique of Malacca atau Panglima Awang yang melambangkan semangat penerokaan, hubungan dan pertembungan budaya antara tamadun.

“Desan Shipyard yakin terhadap potensi Malaysia dan kedudukan strategiknya dalam industri maritim serantau.

“Visi kami adalah menjadikan limbungan ini sebagai hab utama pembinaan kapal dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga rantau ini.

“Ia juga akan menyumbang kepada pembangunan ilmu, kemahiran serta ekosistem industri yang mampan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan serta berharap kerjasama itu akan terus diperkukuh pada masa hadapan.

“Ini hanyalah permulaan dan kami menantikan sokongan berterusan semua pihak dalam membina masa depan bersama.

“Semoga projek ini, mencapai kejayaan besar serta memberi manfaat berpanjangan kepada Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

867
Kongsi :
Previous post MAIM BERI SOKONGAN BUAT ASNAF MUALAF HIDAP PENYAKIT BUAH PINGGANG TAHAP 4