
HAS2026: DUA MOTOSIKAL MENANTI PENGUNJUNG BERTUAH
AYER KEROH 22 April – Dua unit motosikal antara hadiah utama cabutan bertuah sempena sambutan Hari Air Sedunia 2026 (HAS2026) Peringkat Kebangsaan di Dataran Tanjung Bidara pada 24 dan 25 April ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, secara keseluruhan pihak penganjur menyediakan lebih 140 cabutan menawarkan pelbagai hadiah termasuk barangan elektrik.
“Saya yakin cabutan yang kita sediakan ini mampu menggamit lebih ramai pengunjung ke program ini yang berlangsung selama dua hari, sekali gus menyebar luas maklumat dan meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung pentingnya memelihara sumber air.
“Pelbagai pengisian lain turut diatur termasuk pameran aset tentera, karnival sukan rakyat, aktiviti keluarga seperti mewarna bertemakan air bagi menarik penyertaan semua peringkat umur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung di BernamaTV sempena HAS2026 Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Air Milik Semua’, hari ini.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, HAS2026 secara tidak langsung membantu mempromosikan Pantai Tanjung Bidara sebagai lokasi penganjuran acara berskala besar.
“Penganjuran ini bukan sahaja mengenai kesedaran tentang air tetapi juga mempromosi Tahun Melawat Melaka 2.0,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


