Sorting by

×

MELAKA TERJEMAH ASET KEPADA IMPAK EKONOMI, KESEJAHTERAAN RAKYAT – KM

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 April – Melaka komited menterjemahkan aset negeri kepada impak ekonomi sebenar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setiap aset termasuk tanah, infrastruktur dan lokasi strategik dimanfaatkan bagi menjana peluang pekerjaan, perumahan serta perniagaan.

“Di Melaka, kita bukan sekadar memelihara sejarah tetapi membina masa depan kehidupan bandar yang mampan dengan memastikan setiap pembangunan memberi nilai kepada rakyat.

“Transformasi itu disokong oleh asas ekonomi kukuh apabila Melaka merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM48.9 bilion pada 2024 serta menarik pelaburan RM14.68 bilion pada 2025, hampir tiga kali ganda sasaran asal.

“Pembangunan seperti MCORP Hi-Tech Park dan German Technology Park (GTP) membuktikan keupayaan negeri menukar aset tanah kepada ekosistem bernilai tinggi yang menarik pelabur global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres Dunia Eastern Organisation for Planning and Human Settlements (EAROPH) Ke-30 2026 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, kedudukan strategik Melaka yang terletak di Selat Melaka turut dimanfaatkan melalui kerjasama dengan Desan Shipyard dari Turkiye bagi pembangunan ‘Enrique of Melaka Shipyard’.

“Pembangunan industri maritim ini akan membuka peluang ekonomi bernilai tinggi, mewujudkan pekerjaan mahir dan mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai hab maritim serantau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

268
Kongsi :
Previous post PERKASA WANITA MELAKA, BERI SOKONGAN KEPADA IBU TUNGGAL
Next post MAIM TEROKA KERJASAMA BANGUNKAN MODEL PERLADANGAN KOREA SELATAN