
MELAKA SALUR PERUNTUKAN TAMBAHAN JIKA EKONOMI GLOBAL SEMAKIN PARAH – KM
SERI NEGERI 27 April – Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan untuk menyemak semula dan menambah peruntukan kebajikan berdasarkan keperluan semasa dan kemampuan fiskal negeri sekiranya keadaan ekonomi global bertambah teruk.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia berikutan persediaan Kerajaan Negeri dalam mendepani keadaan dunia yang tidak menentu ketika konflik geopolitik di Asia Barat dan gangguan laluan perdagangan.
Katanya, Kerajaan Negeri akan mengambil pendekatan jelas dengan memastikan bekalan makanan rakyat mencukupi, stabil dan terkawal.
“Kerajaan Negeri tidak akan sesekali membiarkan rakyat panik atau terjejas.
“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada import dan Kerajaan Negeri mengambil langkah agresif memperkukuh pengeluaran tempatan menerusi RM6.42 juta di bawah Agromakanan Negara melibatkan 10 projek utama.
“RM2.08 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk tingkatkan kapasiti pengeluaran dan RM1.2 juta khusus untuk sektor penternakan dan dalam sektor pengeluaran beras bagi Januari hingga Mac 2026 sebanyak 44 metrik tan Beras Melaka telah diedarkan dan dijangkakan 7,000 metrik tan pengeluaran padi menjelang hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri sedang meneliti untuk menyusun semula perbelanjaan supaya fokus kepada perkara asas dan kritikal demi lindungi kos hidup rakyat.
“Antara langkah yang diambil Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan berterusan kepada petani, penternak dan nelayan yang mana turut diberikan insentif pembajakan sebanyak RM30 kepada pesawah bagi setiap ekar untuk tampung kos operasi jentera.
“Bantuan kepada nelayan menerusi Skim Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Nelayan menerusi pemberian RM900,00 untuk naik taraf infrastruktur, RM1 juta untuk perlatan menangkap ikan yang mana ia akan diserahkan kepada nelayan pada suku ketiga tahun 2026.
“RM300 one-off kepada petani sayur-sayuran dan buah-buahan yang berdaftar di bawah Jabatan Pertanian serta pelbagai lagi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


