Sorting by

×

MELAKA MILIKI 7,374 AHLI SKUAD AADK

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

SERI NEGERI 28 April – Dalam memperkasa aktiviti pencegahan dadah dalam komuniti, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dibantu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Skuad AADK.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, Skuad AADK berperanan sebagai ejen dalam menyebarluas mesej atau maklumat antidadah, selain menyokong pelaksanaan aktiviti pencegahan dadah.

Menurut beliau, setakat tahun ini, seramai 7,374 keahlian Skuad AADK direkodkan di negeri ini, di mana ia merangkumi 2,710 ahli di daerah Melaka Tengah, 2,457 di Alor Gajah dan 2,207 di daerah Jasin.

Beliau menjelaskan, dalam pertubuhan Skuad AADK itu, terdapat empat jawatankuasa diwujudkan, di mana setiap jawatankuasa itu memainkan peranan tertentu iaitu Skuad Aktif, Skuad Prihatin, Skuad Rohani dan Skuad K.A.M.I.

“Skuad Aktif menjurus kepada amalan gaya hidup sihat dan penonjolan bakat, manakala Skuad Prihatin pula memfokuskan aktiviti Program Pendidikan Pencegahan Dadah dan Rawatan Pemulihan.

“Sementara itu, Skuad Rohani memfokuskan aktiviti keagamaan dan penerapan nilai-milai murni dalam menyokong keseimbangan norma kehidupan komuniti.

“Manakala, Skuad K.A.M.I iaitu singkatan bagi ‘Kempen Antidadah Melalui Informasi’ menjalankan aktiviti Training Of Trainers, Walkabout, sebaran risalah, ceramah dan karnival hidup sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) mengenai jawatankuasa kerja yang bertanggungjawab membasmi gejala penyalahgunaan dadah selain AADK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Hee Sem, selain Skuad AADK, terdapat dua lagi pertubuhan iaitu Pusat Pemulihan Persendirian (PPP) – Teduhan Kasih Negeri Melaka dan Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) turut berfungsi membantu AADK Negeri Melaka dalam menangani kes penyalahgunaan dadah.

Bagi PPP, jelas beliau, antara fungsinya adalah sebagai pusat pemulihan persendirian yang menjalani program rawatan dan pemulihan penagih atau penyalahgunaan dadah secara sukarela.

Manakala, JKPD pula berperanan sebagai tulang belakang dan sistem sokongan sosial bagi membantu klien kekal pulih dan mengelakkan daripada kembali ke kancah dadah, selain membantu mengurangkan stigma masyarakat terhadap penagih dadah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post MASIH RAMAI BELIA MELAKA TERJEBAK DENGAN DADAH
Next post PECAH TANAH BLOK WANITA DAN KANAK-KANAK HOSPITAL MELAKA HUJUNG TAHUN INI