
PENILAIAN SEMULA PROJEK RINTIS ‘MELAKA FLOATING MARKET’ SECARA HOLISTIK
SERI NEGERI 29 April – Projek pelancongan Melaka Floating Market sedang melalui proses penilaian dan penelitian menyeluruh termasuk melibatkan aspek perundangan selepas operasinya dihentikan sementara pada April 2025.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, Melaka Floating Market merupakan projek rintis di kawasan Pengkalan Rama Sungai Melaka Fasa 2 dan dilaksanakan secara kerjasama awam-swasta bersama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).
Katanya, kos pembangunan dan operasi ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tanpa melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri.
“Melaka Floating Market ini perlu dirangka dan disesuaikan dengan budaya tempatan agar lebih relevan, autentik serta mampu menarik minat pengunjung secara berterusan.
“Penelitian dibuat secara menyeluruh mendapati ada keperluan penambahbaikan aspek teknikal, khususnya melibatkan reka bentuk dan struktur platfiorm terapung yang perlu lebih fleksibel agar sesuai dengan perubahan paras air sungai selain faktor cuaca,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr. Mohd Aleef Yusof (PN- Sungai Udang) mengenai status pengoperasian produk pelancongan negeri Melaka Floating Market pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Tambahnya, langkah itu penting bagi memastikan operasi dapat dijalankan dengan lebih stabil untuk mengekalkan keselamatan pengunjung dan peniaga.
“PPSPM turut laksanakan penelitian dan perundingan bagi memastikan semua terma perjanjian dipatuhi serta kepentingan Kerajaan Negeri terpelihara, sekali gus pelaksanaan berjalan dengan lebih tersusun, berdaya maju dan memenuhi standard tanpa kompromi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


