
MELAKA JAMIN PEMBANGUNAN SM-WEZ TIDAK ABAIKAN PELANCONGAN DAN ALAM SEKITAR
SERI NEGERI 29 April – Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa pembangunan Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) sekitar Pantai Puteri akan dilaksanakan secara seimbang tanpa mengabaikan kepentingan alam sekitar serta sektor pelancongan setempat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri mengambil kira isu hakisan pantai dan kepentingan aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan dalam setiap perancangan pembangunan.
Menurut beliau, pendekatan yang diambil adalah seimbang dengan menetapkan jarak zon penampan kira-kira 300 meter dari garis pantai sedia ada bagi memastikan ekosistem marin terus terpelihara.
“Langkah ini juga bagi memastikan aktiviti pelancongan dan rekreasi tidak terjejas, selain mengekalkan laluan keluar masuk nelayan setempat di perairan Selat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Tuminah Kadi@Mohd Hashim (BN- Pantai Kundor) mengenai perancangan pembangunan di Pantai Puteri pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, hari ini.
Tambah beliau, semua aktiviti penambakan tertakluk kepada pematuhan ketat keperluan teknikal dan perundangan termasuk pelaksanaan langkah mitigasi seperti pembinaan ‘rock revetment’, pemasangan ‘silt curtain’ serta pemantauan berterusan oleh agensi berkaitan.
“Pembangunan industri maritim di Pantai Puteri dijangka memperkukuhkan kedudukan Melaka sebagai hab ekonomi biru yang berdaya saing serta memberi limpahan manfaat kepada rakyat termasuk peluang pekerjaan dan peningkatan aktiviti ekonomi setempat.
“Kerajaan Negeri komited memastikan setiap projek di bawah SM-WEZ dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan seimbang antara pembangunan serta pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


