Sorting by

×

BALAI RAYA TAMAN SRI HILIR KEMBALI ‘BERNYAWA’

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

ASAHAN 6 Mei – Balai Raya Taman Sri Hilir kembali ‘bernyawa’ selepas melalui proses baik pulih dan kembali berfungsi sebagai lokasi penganjuran pelbagai program buat penduduk sekitar dalam kawasan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Simpang Tebong.

Pengerusi JPKK Simpang Tebong, Abdul Raof Yusof berkata, proses baik pulih itu adalah hasil keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan susulan lawatan diadakan tahun lalu.

Katanya, bangunan berusia lebih 10 tahun itu sebelum ini berada dalam keadaan amat uzur dengan sistem pendawaian elektrik, lampu dan kipas mengalami kerosakan serius akibat tidak diselenggara secara teratur.

“Lebih menyakitkan mata apabila pintu dan tingkap semuanya pecah, keadaan itu menyebabkan bangunan ini tidak lagi sesuai untuk digunakan sebagai tempat mesyuarat apatah lagi menjadi penganjuran aktiviti untuk penduduk.

“Proses baik pulih melibatkan penggantian sistem pendawaian dan peralatan elektrik, pintu tingkap dan mengecat semula keseluruhan bangunan agar berwajah baharu selain memasang siling. Proses baik pulih lebih menjimatkan dan cepat, jika mohon bina baharu pasti perlu menunggu lebih lama.

“Akibat keadaan bangunan yang daif sebelum ini kami terpaksa menumpang Balai Raya Batang Melaka untuk bermesyuarat, tetapi sekarang alhamdulillah sudah ada kemudahan sendiri yang selesa,” katanya.

Abdul Raof berkata, sesuai dengan peranannya sebagai medium mengeratkan perpaduan antara rakyat, pelbagai program akan kembali aktif dilakukan di balai raya berkenaan selepas ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

457
Kongsi :
Previous post SKRIN LED KAMPUNG KEMUNING ‘LAKU KERAS’
Next post APEL.A UiTM BANDARAYA MELAKA BUKA PELUANG PEKERJA BERPENGALAMAN IKUTI PENGAJIAN MBA