
WRUR AYER MOLEK: PESAKIT BUAH PINGGANG TERHARU MASIH ADA YANG SAYANG
AYER MOLEK 5 April – Nasib golongan kurang berkemampuan terus mendapat perhatian menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang sentiasa menjadikan agenda santunan rakyat sebagai antara fokus utama.
Lambang keprihatinan itu dizahirkan pada program WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek menerusi Konvoi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Sayang Rakyat (MeSRA).
Antara yang disantuni adalah Baharudin Hussin, 65, dari Kampung Pengkalan Minyak yang tidak menyangka kehidupan keluarganya yang sedang diuji mendapat perhatian wakil rakyat dan MBMB.
Menurut bapa kepada empat orang anak yang menghidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani dialisis itu, kunjungan rombongan WRUR ke kediamannya bukan sahaja memberikan kegembiraan malah dapat mengeratkan lagi silaturahim.
“Saya amat berbesar hati apabila kediaman kami dikunjungi ramai tetamu selain jauh di sudut hati agak tersentuh kerana ada pihak yang sudi bertanya khabar.
“Malah, saya agak terharu kunjungan ini tidak datang dengan tangan kosong sebaliknya diberikan sumbangan wang tunai dan barangan elektrik antaranya mesin basuh dan peti sejuk.
“Sebenarnya mesin basuh dan peti sejuk di rumah sudah agak lama rosak selain tidak dapat digunakan lagi, Alhamdulillah ini rezeki untuk kami sekeluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Warga emas itu berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman bersama peserta konvoi MBMB, dikediamannya, di sini, pada Isnin.
Menurut Baharudin, menerusi kunjungan sebegitu ia menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan khususnya MBMB dalam memastikan nasib rakyat diberi perhatian.
“Hanya ucapan terima kasih dapat diucapkan atas keprihatinan ini yang mana amat membantu meringankan beban selain diharap supaya inisiatif sebegini terus dilaksanakan kerana ia amat bermakna untuk golongan kurang bernasib baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


