
MATTA FAIR MELAKA 2026 REKOD JUALAN LEBIH RM8 JUTA
BANDARAYA MELAKA 5 Mei – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka berjaya mengutip jualan lebih RM8 juta pada penganjuran MATTA Fair Melaka 2026 yang berlangsung di Mahkota Parade pada 17 hingga 19 April lalu.
Pengerusi MATTA Melaka Goh Hock Gin berkata, pihaknya turut merekodkan seramai 18,000 pengunjung pada acara yang menawarkan lebih 150 pakej pelancongan menarik pada harga istimewa.
Beliau memaklumkan, pihaknya berpuas hati dengan sambutan yang diterima, sekali gus menunjukkan sektor pelancongan masih mendapat sambutan meskipun berdepan beberapa krisis dan konflik dunia.
“Walaupun nilai jualan tidak mencapai sasaran asal, namun daripada sambutan yang diterima jelas menunjukkan permintaan terhadap produk pelancongan kekal memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Hadiah Cabutan Bertuah sempena MATTA Fair Melaka 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Melaka Mohamad Bukhari Che Man dan lain-lain kenamaan.
Pada majlis tersebut, seramai tujuh pemenang utama menerima pelbagai hadiah yang ditawarkan dengan nilai keseluruhan RM10,000.
Menurut Hock Gin, cabutan bertuah itu merupakan antara tarikan yang dibawakan pada penganjuran MATTA Fair Melaka 2026 di mana pengunjung yang membeli pakej bernilai RM200 dan keatas layak menyertainya.
“Antara hadiah utama yang ditawarkan adalah televisyen 65 inci serta tiket penerbangan Batik Air ke Phuket dan Medan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

