
WRUR AYER MOLEK: RAKYAT PUJI KETERBUKAAN KERAJAAN NEGERI SANTUNI ADUAN
AYER MOLEK 6 Mei – Program Hari Aduan Rakyat sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek mendapat sambutan menggalakkan apabila orang ramai hadir bagi menyuarakan pelbagai aduan dan cadangan secara terus kepada wakil rakyat.
Lebih menarik, program berkenaan membuka ruang kepada rakyat untuk bersemuka dengan barisan pemimpin serta agensi berkaitan bagi mendapatkan penjelasan dan penyelesaian terhadap isu yang dihadapi.
Menurut seorang pengunjung, Darren Lee, 33, dari Hang Tuah Jaya, dia mengambil peluang hadir ke Hari Aduan Rakyat bagi mengemukakan beberapa cadangan demi pembangunan negeri.
“Saya datang untuk buat sedikit aduan, selain mengemukakan cadangan supaya Melaka dapat dinaik taraf, terutama dari segi kebajikan, pendidikan dan juga kelestarian bandar.
“Saya gembira sebab YB (Yang Berhormat) sangat terbuka, mereka mendengar cadangan dan aduan kita. Saya rasa program ini amat baik dan perlu diteruskan demi manfaat rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Zawiyyah A. Hamid, 61, yang menetap di PPR Tehel berkata, kehadirannya ke program itu adalah bertujuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai bantuan kebajikan untuk ibunya yang mengalami angin ahmar.
Menurutnya, menerusi program itu, dia telah mendapat penjelasan terperinci mengenai proses permohonan bagi bantuan kebajikan tersebut sebelum melengkapkannya.
“Saya pertama kali datang dan teruja sebab ingat ada seorang YB sahaja, rupanya ramai. Kita boleh jumpa terus depan-depan, senang untuk adukan masalah dan saya lebih faham dengan penjelasan yang diberikan.
“Bukan itu sahaja, malah program ini juga turut menyelitkan pelbagai manfaat lain, antaranya penganjuran Jualan Rahmah yang sangat membantu rakyat mendapatkan bekalan keperluan asas pada harga lebih murah.
“Bagi saya program seperti ini memberi impak dan manfaat cukup besar untuk rakyat di seluruh negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


