Sorting by

×

APEL.A UiTM BANDARAYA MELAKA BUKA PELUANG PEKERJA BERPENGALAMAN IKUTI PENGAJIAN MBA

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 Mei – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka membuka peluang kepada pekerja berpengalaman untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat sarjana khususnya Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) melalui laluan APEL.A (Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu).

Koordinator Pasca Siswazah MBA UiTM Kampus Bandaraya Melaka, Dr. Mohd Hafiz Bakar berkata, di bawah Pusat Pengajian Pascasiswazah, laluan alternatif itu memberi ruang kepada individu yang memiliki pengalaman kerja tetapi tidak mempunyai kelayakan akademik konvensional untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Beliau berkata, APEL.A mempunyai enam peringkat pengajian bermula daripada Sijil (APEL T-3), Diploma (APEL T-4), Diploma Lanjutan(APEL T-5), Ijazah Sarjana Muda, Diploma Siswazah dan Sijil Siswazah (APEL T-6), Ijazah Sarjana, Diploma Pascasiswazah dan Sijil Pascasiswazah (APEL T-7) serta Ijazah Kedoktoran (APEL T-8).

“Antara syarat untuk mengikuti pengajian ke APEL T-7 adalah warganegara Malaysia, berusia sekurang-kurangnya 30 tahun dan mempunyai pengalaman pekerjaan yang bersesuaian.

“Selain itu calon yang layak perlu menduduki dan lulus ujian penilaian atau ‘Aptitude Test’ sebelum perlu menyediakan portfolio berkaitan pengalaman kerja dan menduduki sesi temu duga, seterusnya diberikan Sijil APEL yang disahkan serta diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Melalui laluan alternatif ini, calon tidak perlu mengulang kelayakan seperti ijazah sarjana muda sepenuhnya sebaliknya pengalaman kerja yang relevan akan dinilai bagi menentukan kelayakan mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Pusat Pengajian Siswazah, UiTM Kampus Bandaraya Melaka.

Menurut Dr. Mohd Hafiz, “Program MBA di bawah Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) ini merupakan antara lokasi pengajian yang wajar dijadikan pilihan kerana memiliki ‘AACSB ACCREDITED’ yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai penanda aras kecemerlangan dalam pendidikan pengurusan dan perniagaan.

“Menerusi APEL.A ini, ia membantu meningkatkan keyakinan diri dan memperkukuh motivasi untuk melanjutkan pengajian selain membolehkan individu mendapat akses serta pengiktirafan bagi kelayakan yang lebih tinggi.

“Alternatif ini juga dilihat sebagai platform terbaik untuk meningkatkan kemahiran dan mobiliti kerjaya, selaras dengan keperluan industri semasa yang menuntut tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya.

Tambah beliau lagi, melalui APEL.A, ia akan menarik calon-calon pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan bidang yang akan menjadikan sesi pembelajaran lebih interaktif, relevan dan mampu menghubungkan teori dengan amalan dunia sebenar sekaligus memperkayakan perbincangan dan meningkatkan kefahaman terhadap sesuatu topik.

“Menggunakan konsep modular untuk setiap subjek, sesi kuliah bagi program MBA UiTM ini dijalankan pada hujung minggu sahaja iaitu pada Sabtu (secara fizikal) dan Ahad (secara dalam talian) serta mempunyai dua sesi pengambilan iaitu pada Mac dan Oktober setiap tahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

572
Kongsi :
Previous post BALAI RAYA TAMAN SRI HILIR KEMBALI ‘BERNYAWA’
Next post WRUR AYER MOLEK: JASA BEKAS GURU JAIM MASIH JADI SEBUTAN RAMAI