
WRUR AYER MOLEK: JASA BEKAS GURU JAIM MASIH JADI SEBUTAN RAMAI
AYER MOLEK 8 Mei – Meskipun sudah bersara jasa bekas guru Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM tetap dikenang, bukan sahaja dalam kalangan anak murid tetapi masyarakat sekitar khususnya komuniti Muslim.
Apa tidaknya mereka ini memainkan peranan besar dalam memastikan setiap anak bangsa membesar dengan bekalan pengetahuan agama Islam yang mantap bagi dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim sejati.
Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, pengisian khas menerusi Program Peduli Ummah Untuk Mantan Pegawai Syarak dan Guru JAIM Bagi Semua Masjid DUN Ayer Molek di Kampung Paya Redan dianjurkan bagi menziarahi pesara terbabit.
Bekas guru SRA JAIM Paya Redan, Mistiah Alimi, 70, berkata, kunjungan itu dianggap sebagai memori yang istimewa dan membuktikan masih ramai yang cakna terhadap pesara seperti dirinya.
“Rumah saya meriah dengan kehadiran tetamu yang ramai, saya berbesar hati dan amat mengalu-alukan kedatangan rombongan ini. Terima kasih kerana masih hargai jasa kami.
“Saya bersara pada usia 65 tahun, sesekali ada program seperti ini secara tidak langsung menggami kemeriahan suasana dalam bilik darjah ketika mengajar murid-murid,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paya Redan, di sini, semalam.
Dia yang juga mesra dengan panggilan Ustazah Mistiah tinggal di rumah berkenaan bersama suami Salihan Saluty, 77, kini uzur akibat masalah kesihatan.
Sementara itu, seorang lagi pesara guru JAIM Hajijah Atmo, 71, turut meluahkan rasa syukur kerana masih diingati biarpun tidak lagi bergelar warga pendidik.
“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana masih ada yang datang santuni walaupun sudah tidak mengajar lagi. Saya mula menjadi warga pendidik sejak 2004, sebelum itu saya sudah mengajar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
“Suami saya sudah meninggal dunia dan sekarang saya tinggal bersama anak, menantu serta cucu. Segala perbelanjaan harian banyak dibantu anak-anak,” katanya.
Terdahulu, program itu diserikan dengan kehadiran Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


