
JALAN BAHARU UBAH KEHIDUPAN PENDUDUK
MACHAP JAYA 8 Mei – Pembukaan jalan baharu menghubungkan Tebong ke Hutan Percha memberi impak besar kepada penduduk setempat apabila bukan sahaja memendekkan masa perjalanan malah membantu merancakkan ekonomi kampung.
Laluan sepanjang kira-kira lima kilometer dengan kos lebih RM31 juta itu siap pada April 2022 dan kini menjadi jalan pintas kepada penduduk dari Pekan Tebong yang hendak ke Hutan Percha.
Penduduk Kampung Tebong Stesen Nor Azmi Samsudin, 40, berkata, dengan adanya laluan tersebut ia amat memudahkan urusan harian terutama bagi mereka yang berulang-alik dari Tebong untuk ke Alor Gajah mahupun Tampin.
“Kalau sebelum ini kami perlu menggunakan laluan lama yang sering sesak selain masa perjalanan agak panjang kini tempoh itu dapat dijimatkan kira-kira enam hingga tujuh minit.
“Jalan baharu ini juga dapat menjadi laluan alternatif kepada penduduk sekiranya berlakunya banjir di jalan lama,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Nor Azmi, jalan baharu itu juga memudahkan anak-anak yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebong, kerana tidak perlu lagi menempuh perjalanan yang panjang untuk ke sekolah.
“Boleh katakan sebahagian pelajar di situ dari Hutan Percha, Kemuning dan Menggong. Jadi apabila jalan ini siap ia bukan sahaja melegakan pelajar tetapi juga ibu bapa kerana tidak perlu lagi menempuh perjalanan yang panjang.
“Secara tidak langsung dengan adanya laluan ini ia turut memberi impak positif kepada ekonomi penduduk apabila lebih ramai pengunjung luar singgah ke kampung ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pembinaan sebuah dewan serbaguna di kawasan itu yang mengakhiri penantian penduduk kampung sejak bertahun lamanya.
Jelasnya, dewan itu akan dibangunkan di tanah berkeluasan kira-kira 0.4 hektar dan ia menjadi antara usaha yang diperjuangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


