Sorting by

×

BUNGA DAN LEBAH TERAPI RUBIAH

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

ASAHAN 9 Mei – Keinginan untuk berdikari mendorong Rubiah Atong, 63, untuk menjalankan sendiri perusahaan madu kelulut berbanding sekadar menjadi peraih atau orang tengah yang memasarkan produk orang lain.

Wanita masyarakat Orang Asli Temuan ini berkata, pada mulanya dia menjadi peraih dengan menjual madu lebah daripada rakan di perkampungan berkenaan bagi menjana pendapatan.

Namun melihat potensi kelulut yang semakin menjadi buruan orang ramai dia memberanikan diri untuk menceburkan diri dalam bidang penternakan madu kelulut yang diusahakan diperkarangan kediamannya di Kampung Orang Asli Sialang, Batang Melaka.

“Kelulut ini kena dengan jiwa, setakat ini saya memiliki lima sarang kelulut dan bercadang untuk tambah lagi bagi memenuhi permintaan daripada pelanggan yang sentiasa ada, produk ini dipasarkan dalam botol kecil pada harga RM30 sahaja.

“Halaman rumah yang dihiasi pelbagai pokok bunga juga amat membantu kelulut ini mencari makan. Tetapi yang paling utama dan perlu ada adalah pokok jenis Air Mata Pengantin (Antigonon leptopus).

“Pokok jenis ini menjadi tumpuan kelulut dan mesti ditanam oleh setiap pengusaha jika mahu mendapatkan jumlah madu yang banyak serta berkualiti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Rubiah berkata, penjagaan kelulut juga kurang cerewet namun perlu menjaga beberapa pantang seperti tidak membakar sampah kerana dikhuatiri akan memberikan kesan tidak baik buat serangga pemakan nektar itu.

Kelulut (juga digelar meliponini) menjadi pilihan pengusaha tempatan kerana ia tidak memiliki sengat selain menghasilkan madu sama seperti lebah madu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1710
Kongsi :
Previous post ‘ALHAMDULILLAH AIDILADHA TAHUN INI KAMI BERAYA DI RUMAH BAHARU’
Next post PLATFORM MEDIA SOSIAL GAGAL TANGANI AKAUN PALSU BERDEPAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG