Sorting by

×

SERASI TERNAK KAMBING

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

ASAHAN 11 Mei – Berbekalkan pengetahuan asas, Zulhisham Abdul Razak, 43, kini semakin serasi dan bersemangat untuk mengembangkan lagi penternakan kambing yang dijalankan di Kampung Hilir Batang Melaka, di sini, sejak dua tahun lalu.

Usaha Zulhisham yang berbekalkan kesungguhan juga semakin membuahkan hasil apabila kambing diternak mula membiak dan ketika ini sudah menghampiri jumlah 20 ekor secara keseluruhan.

Kerana kekangan modal dia bercadang untuk membeli dua induk betina dan seekor jantan meskipun kandang dibina sebenarnya mampu memuatkan lebih 50 ekor kambing pada satu-satu masa.

“Mungkin sudah rezeki saya menerima 10 induk betina dan seekor jantan menerusi inisiatif SejaTi MADANI, bantuan ini menyuntik semangat dalam diri untuk meneruskan perancangan bergelar penternak berjaya.

“Memasuki tahun kedua projek berjalan fokus saya adalah untuk membiakkan lagi ternakan yang ada, tetapi jika ada pihak berminat untuk beli bagi tujuan akikah atau sebagainya saya sedia untuk pertimbangkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Zulhisham mengakui berdepan pelbagai cabaran pada peringkat awal projek termasuk agak kekok untuk mengendalikan anak kambing yang baru lahir dan merawat ternakan yang diserang penyakit.

“Sebenarnya penternak juga perlu beri susu khas kepada anak kambing dan tidak boleh semata-mata mengharapkan induk. Kaedah ini amat penting bagi aspek kesihatan dan pembesaran anak kambing baru lahir.

“Bagi perancangan jangka masa panjang saya bercadang untuk menanam sendiri rumput napier, bukan sahaja sebagai stok makanan ternakan yang ada tetapi dibekalkan kepada pengusaha lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

220
Kongsi :
Previous post CINTA DINA HADFINA KEPADA KALAM ALLAH
Next post MELAKA TUAN RUMAH FESTIVAL TEATER ZON SELATAN