
MELAKA PERKASA PENDIDIKAN ANAK-ANAK ORANG ASLI
TABOH NANING 8 Mei – Aspek pendidikan dalam kalangan anak-anak masyarakat Orang Asli di Melaka sentiasa diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri menerusi pelbagai aktiviti dan bantuan dilaksanakan agensi serta jabatan berkaitan.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, perhatian terhadap aspek pencapaian pendidikan anak-anak Orang Asli juga selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
Katanya, Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) secara konsisten melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membuka ruang kepada lebih ramai anak-anak orang asli mendapatkan pendidikan berkualiti.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning berkata, terbaharu TAPEM menganjurkan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Pelajar-Pelajar Orang Asli Daerah Alor Gajah bagi Sesi Akademik 2026 di Dewan Japerun Taboh Naning, di sini, semalam.
“Secara keseluruhan seramai 360 penerima melibatkan murid tadika hingga pelajar sekolah menengah memperoleh manfaat hasil inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri menerusi TAPEM.
“Semoga bantuan disampaikan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh murid dan pelajar dalam melakukan persediaan menghadapi sesi persekolahan serta menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan anak-anak Orang Asli di Daerah Alor Gajah,” katanya.
Majis penyampaian bantuan itu turut dihadiri Pengurus Besar TAPEM Abdul Aziz Baba, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Melaka dan Negeri Sembilan Shahrani Idderis dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sektor Pengurusan Sekolah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, Muhammad Hamka Dollah.
Sebelum ini Melaka Hari Ini melaporkan pengumuman daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengenai Bantuan Khas Pendidikan kepada anak-anak Melaka daripada komuniti Orang Asli yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Menteri berkata, bantuan khas itu berupa tawaran biasiswa Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) bagi melanjutkan pengajian di Universiti Islam Melaka (UNIMEL).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

