Sorting by

×

WRUR AYER MOLEK: MBMB BAIK PULIH, ‘HIAS’ KEDIAMAN DUA WARGA EMAS

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER MOLEK 8 Mei – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerusi Program Bandaraya Penyayang menyumbangkan sebanyak RM26,000 bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih dua kediaman yang didiami warga emas sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata, setiap kediaman diperuntukkan sebanyak RM13,000 bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih bumbung dan mengecat rumah yang dilakukan secara gotong-royong oleh warga MBMB.

Katanya, pemilik kedua-dua kediaman iaitu Saemin Mogin, 86, dari Kampung Paya Tambak dan Ab Rahman Mohd, 73, dari Kampung Balik Bukit Ayer Molek, turut menerima sumbangan mesin basuh dan periuk nasi selain dapur gas serta kelengkapan rumah lain daripada MBMB.

“Bantuan ini merupakan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri dan MBMB dalam membantu golongan kurang berkemampuan yang mendiami rumah yang uzur serta memerlukan pembaikan segera.

“Selain kerja-kerja baik pulih, MBMB turut berganding bahu membantu membersihkan persekitaran kedua-dua kediaman terlibat,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menyantuni penerima manfaat Program Bandaraya Penyayang sempena WRUR DUN Ayer Molek di Kampung Tambak Paya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad turut menzahirkan rasa terima kasih kepada MBMB di atas keprihatinan tinggi terhadap rakyat khususnya di DUN Ayer Molek.

“Program seperti ini mampu memberi manfaat dan keselesaan kepada penduduk untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

“Menerusi pendekatan ini kita yakin lebih ramai keluarga dapat dibantu dan lebih banyak rumah dapat dibaiki di mana rakyat sudah pasti dapat benar-benar merasai bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri,” katanya.

Penerima sumbangan MBMB melibatkan Saemin Mogin, 86, dari Kampung Paya Tambak dan Ab Rahman Mohd, 73, dari Kampung Balik Bukit Ayer Molek.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

216
Kongsi :
Previous post MELAKA PERKASA PENDIDIKAN ANAK-ANAK ORANG ASLI