Sorting by

×

WRUR AYER MOLEK: SELESAI ADUAN RAKYAT IKUT KATEGORI

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER MOLEK 8 Mei – Aduan diterima sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek dipecahkan mengikut kategori bagi melancarkan lagi tindakan penyelesaian oleh agensi atau jabatan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata, kategori pertama membabitkan penyelesaian serta merta, sementara itu kategori kedua pula melibatkan aduan memerlukan penyelesaian tempoh sederhana dan boleh selesai dalam kadar segera.

Katanya, bagi kategori ketiga pula membabitkan projek jangka masa panjang yang memerlukan kos tinggi selain campur tangan pelbagai agensi yang berkaitan.

“Setakat hari keenam WRUR DUN Ayer Molek, aduan yang direkodkan pada Hari Aduan Rakyat kelmarin membabitkan lebih 60 isu yang mana aduan paling banyak melibatkan portfolio di bawah Kerajaan Tempatan seperti isu perumahan, longkang, kebersihan dan pelbagai lagi.

“Selain itu, isu ternakan berkeliaran yang sebelum ini menjadi aduan utama dapat diselesaikan menerusi pemasangan tag dan kod QR pada haiwan untuk memudahkan pemantauan pemilik yang mana Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM300,000 bagi kerja-kerja tagging tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyantuni penerima manfaat Program Bandaraya Penyayang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sempena WRUR DUN Ayer Molek di Kampung Tambak Paya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, lebih 100 program telah dilaksanakan sempena WRUR DUN Ayer Molek melibatkan pelbagai agensi dan komuniti setempat.

“Saya juga menerima reaksi daripada penduduk ada yang katakan program WRUR ini memang bagus kerana berjaya mendekatkan perkhidmatan Kerajaan atau Kerajaan Negeri kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Kalau sebelum ini rakyat perlu datang ke pejabat untuk membuat aduan dan permohonan, kali ini jabatan serta agensi pula turun padang bertemu rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

164
Kongsi :
Previous post WRUR AYER MOLEK: MBMB BAIK PULIH, ‘HIAS’ KEDIAMAN DUA WARGA EMAS