Sorting by

×

NADI TAMAN SERI TELOK MAS DILANCARKAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TELOK MAS 8 Mei – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Seri Telok Mas menjadi yang terbaharu dibangunkan di negara ini yang berperanan merapatkan jurang digital dalam kalangan komuniti.

Ia sekali gus menjadi NADI ke-39 dibangunkan di Negeri Melaka yang menyediakan akses internet, Program Perkhidmatan Pintar NADI dan penyampaian maklumat kerajaan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, NADI Taman Seri Telok Mas boleh memuatkan 30 hingga 40 orang pada satu-satu masa yang boleh dimanfaatkan komuniti sekitar.

“NADI ini telah disiapkan oleh pihak Maxis untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kelajuan internet 100 Mbps dan kita telah meminta agar ia ditingkatkan kepada 300 Mbps.

“Saya menekankan bahawa selain kelajuan internet, NADI juga perlu memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai internet selamat, selain ia juga berfungsi sebagai pusat pengajaran dan pendidikan mengenai kecerdasan buatan (AI) untuk diperluas dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Hari Bersama Komuniti: Perasmian NADI Taman Seri Telok Mas dan Penyerahan Watikah Pengerusi Panel Penasihat NADI Negeri Melaka di NADI Taman Seri Telok Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

Pada majlis itu, Fahmi turut menyampaikan watikah pelantikan kepada enam Pengerusi Panel Penasihat NADI Negeri Melaka mengikut Parlimen.

Selain itu, turut disampaikan penyerahan 25 peranti elektronik kepada pemandu dan penunggang p-hailing bagi menyokong penggunaan teknologi digital untuk pekerjaan dan penjanaan pendapatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

237
Kongsi :
Previous post TEATER AMAL: MANEK SULAMKAN SI-AYER MATA, INISIATIF BISTARI SOKONG PRODUK SENI MELAKA