Sorting by

×

TEATER MUZIKAL USAHA MELAKA LESTARI SENI BUDAYA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KLEBANG 9 Mei – Pementasan Teater Amal: Manek Sulamkan Si-Ayer Mata dilihat bertepatan dengan usaha kerajaan dalam memperkukuh sektor pelancongan berasaskan budaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Melaka 2.0.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka Ezlina Alias berkata, pementasan yang akan berlangsung pada 15 Mei depan itu juga bertepatan dengan usaha kerajaan dalam melestarikan seni budaya warisan khususnya budaya Peranakan yang sinonim dengan Negeri Melaka.

Beliau berkata, pementasan teater muzikal berkenaan turut memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat keunikan komuniti Peranakan yang memiliki identiti tersendiri dari aspek bahasa, adat dan adab.

“Sebenarnya penganjuran teater amal ini antara pengisian sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 yang berjalan serentak dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Menerusi teater ini penonton dapat menyaksikan sendiri elemen budaya masyarakat Peranakan termasuk penggunaan dialek, tata susila serta adat resam yang diamalkan sejak turun-temurun, misalnya adat pertunangan yang mempunyai keunikan tersendiri dan jarang diketahui masyarakat luar.

“Malah teater amal ini juga bukan sahaja mengetengahkan hiburan tetapi turut membawa mesej perpaduan apabila memaparkan bagaimana masyarakat berbilang kaum saling menghormati adat dan budaya antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pada sidang media Teater Amal: Manek Sulamkan Si-Ayer Mata yang turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abd Aziz dan Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA) Madeline Kuah, di sebuah hotel, di sini, semalam.

Menurut Ezlina, pementasan teater muzikal itu diserikan dengan pelbagai elemen seni persembahan termasuk tarian, nyanyian dan busana tradisional masyarakat Peranakan.

“Pastinya teater amal ini akan memberi pengalaman berbeza kepada penonton bukan sahaja menerusi jalan cerita namun menerusi pemakaian, dialek dan adat yang akan ditampilkan sepanjang persembahan.

“Lebih menariknya, keseluruhan produksi ini menampilkan bakat anak jati Melaka yang terdiri daripada pelbagai kaum bergabung di atas satu pentas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

680
Kongsi :
Previous post NADI BANTU USAHAWAN LUAR BANDAR BERJAYA
Next post KUALA SUNGGA SEMAKIN DIKENALI