Sorting by

×

PENDEKATAN TURUN PADANG, MASUK KAMPUNG BERJAYA SELESAI ISU TERTANGGUH

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER MOLEK 10 Mei – Semangat untuk berkhidmat menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) diterjemahkan menerusi insiatif turun padang dan masuk kampung berjaya menyelesaikan pelbagai isu setempat termasuk yang tertangguh sejak sekian lama.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sepanjang berlangsungnya WRUR di Parlimen Hang Tuah Jaya, semua empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkenaan mengamalkan pendekatan itu bagi menyelesaikan isu rakyat.

Katanya, menerusi WRUR pelbagai isu yang sekian lama membelenggu rakyat dapat dikenal pasti dan diberikan perhatian segera oleh jabatan serta agensi berkaitan tanpa mengira peringkat negeri atau persekutuan.

“Sebagai contoh, masalah banjir yang sering berlaku di beberapa lokasi sekitar Ayer Keroh, susulan itu Projek Mitigasi Banjir sedang dilaksanakan di kawasan ‘hotspot’ seperti Taman Melawis, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bistari dan Taman Seri Jati dengan kos keseluruhan RM1.7 juta ringgit.

“Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Putat juga sedang dilaksanakan melibatkan peruntukan sebanyak RM24.5 juta,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Hang Tuah Jaya: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Negeri Melaka serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek.

Yang turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin merangkap Adun Pengkalan Batu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta serta Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.

Ab Rauf berkata, sementara itu dalam usaha memperkukuh ekonomi rakyat di Parlimen Hang Tuah Jaya Kerajaan Negeri membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada para peniaga kecil untuk menjana pendapatan serta memperluaskan perniagaan mereka.

“Antaranya melalui projek Membina Ruang Niaga Terbuka di Tapak Laman Niaga Pinggiran Sungai MITC dengan kos RM573,000 yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Mei ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

491
Kongsi :
Previous post MELAKA LUNCUR SISTEM QR TAGGING HAIWAN TERNAKAN PERTAMA DI MALAYSIA 16 MEI INI
Next post WRUR PARLIMEN HANG TUAH JAYA CAPAI MATLAMAT, SELESAI 603 DARIPADA 907 ADUAN