Sorting by

×

WRUR PARLIMEN HANG TUAH JAYA CAPAI MATLAMAT, SELESAI 603 DARIPADA 907 ADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER MOLEK 10 Mei – Sebanyak 603 daripada keseluruhan 907 aduan diterima sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hang Tuah Jaya berjaya diselesaikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi WRUR setiap permasalahan diselesaikan dengan cara lebih terancang dan tersusun menerusi kerjasana Exco berkenaan, wakil jabatan serta agensi kerajaan.

Katanya, selain WRUR penganjuran Program HEBAT (Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bersama Rakyat) menjadi satu lagi medium bagi Kerajaan Negeri untuk mendengar dan mencari penyelesaian kepada isu rakyat.

“Antara isu yang kita selesaikan adalah melibatkan hal ehwal pembangunan masyarakat, tanah, harta pusaka dan tuntutan bertindih, semuanya adalah menerusi WRUR.

“Semua ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk merakyatkan pentadbiran dan menjadikan sistem pengurusan masalah rakyat lebih cekap,” kata Ketua Menteri pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Hang Tuah Jaya: Kampung Kita Dewan DUN Ayer Molek di Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Negeri Melaka serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek.

Yang turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin merangkap Adun Pengkalan Batu; Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta serta Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.

Penganjuran WRUR bagi Parlimen Hang Tuah Jaya bermula di DUN Pengkalan Batu, diikuti DUN Bukit Katil, DUN Ayer Keroh dan melabuhkan tirai dengan jayanya dengan pelaksanaan di DUN Ayer Molek dengan melibatkan 399 pelbagai jenis program.

Ab Rauf berkata, selepas ini WRUR akan diteruskan di Parlimen Kota Melaka bermula dengan DUN Kota Laksamana dan berakhir di DUN Telok Mas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post PENDEKATAN TURUN PADANG, MASUK KAMPUNG BERJAYA SELESAI ISU TERTANGGUH
Next post PERKASA KEMUDAHAN KESIHATAN, PENDIDIKAN DUN AYER MOLEK