Sorting by

×

MELAKA TUAN RUMAH FESTIVAL TEATER ZON SELATAN

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 12 Mei – Melaka bakal menjadi tumpuan penggiat seni teater apabila dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran Festival Teater Zon Selatan yang dijadualkan berlangsung pertengahan Jun depan.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka Ezlina Alias berkata, festival itu akan berlangsung di JKKN Melaka di Ayer Keroh selama tiga hari bermula 15 hingga 20 Jun.

“Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah bagi Festival Teater Zon Selatan merupakan satu kepercayaan kepada JKKN Melaka.

“Setakat ini empat kumpulan sudah mengesahkan penyertaan namun jumlah itu dijangka bertambah memandangkan tarikh tutup penyertaan pada penghujung bulan ini.

“Setiap negeri iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan akan menghantar pasukan masing-masing untuk bertanding di Melaka sebelum dinilai bagi memilih wakil ke Festival Teater Peringkat Kebangsaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Ezlina, festival pada kali ini bakal mengetengahkan tema patriotik dan sejarah menerusi pementasan naskhah yang lebih berat serta sarat dengan nilai estetika teater.

“Pastinya pendekatan tema ini untuk peserta Zon Selatan dijangka memberi kelainan kepada festival kali ini selain memperlihatkan kekuatan sebenar seni teater dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.

“Selain itu juga kita mahu festival ini menjadi platform memperkukuh kembali kekuatan teater Zon Selatan dan diharapkan kali ini mampu membuahkan hasil membanggakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

216
Kongsi :
Previous post SERASI TERNAK KAMBING
Next post PUSAT KOMUNITI ‘NADI’ BAHARU PENDUDUK DESA DUYONG