
PUSAT KOMUNITI ‘NADI’ BAHARU PENDUDUK DESA DUYONG
DUYONG 12 Mei – Penduduk Taman Desa Duyong menerima sebuah pusat komuniti baharu yang siap dibangunkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Kemudahan bernilai RM200,000 itu dibangunkan menerusi peruntukan Kementerian Ekonomi di bawah Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pusat komuniti tersebut mula dibina pada November tahun lalu kini siap sepenuhnya dan boleh dimanfaatkan komuniti setempat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong berkata, lokasi tersebut dahulunya merupakan tapak bekas pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Desa Duyong yang sebelum ini terbiar dan tidak digunakan lagi.
“Sebelum ini, di tapak ini terdapat satu kabin lama yang dijadikan Pejabat JPKK lama dan sudah tidak digunakan lagi, jadi MBMB naik taraf kepada bangunan kekal untuk kegunaan komuniti.
“Projek ini melibatkan kos yang tinggi kerana ia termasuk dengan kos merobohkan struktur lama, pembersihan kawasan dan pembinaan dewan serbaguna lengkap dengan dapur, kemudahan asas dan landskap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Pusat Komuniti DUN Duyong di Taman Desa Duyong, di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata, dalam DUN Duyong secara keseluruhan terdapat dua pusat komuniti baharu termasuk satu di Durian Daun yang dibina oleh Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah.
“Selain pusat komuniti, Kementerian Ekonomi turut meluluskan projek naik taraf gelanggang futsal di Desa Duyong yang kini dijadikan gelanggang serbaguna lengkap dengan dua gelanggang pickleball,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

