Sorting by

×

KADAR PEMILIKAN RUMAH DI MELAKA CAPAI 85.6 PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 13 Mei – Kadar pemilikan rumah di Melaka mencatatkan 85.6 peratus lebih kukuh berbanding peringkat nasional iaitu 78.0 peratus berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Angka itu membuktikan industri hartanah di Melaka semakin berkembang dengan tawaran harga kediaman yang mampu milik, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai rakyat negeri ini memiliki ‘syurga’ idaman masing-masing.

Malah perkembangan semasa itu juga selaras dengan sasaran Kerajaan Negeri yang menetapkan 88 peratus rakyat Melaka memiliki kediaman sendiri menjelang 2030 nanti.

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin berkata, bagi memastikan hasrat itu tercapai, Kerajaan Negeri juga menetapkan sasaran membina sebanyak 4,191 unit pelbagai jenis kediaman pada setiap tahun.

TPr. Murad berkata, perkara itu dipandang serius oleh pihaknya kerana ia melibatkan aspek kebajikan rakyat berkaitan pemilikan rumah selain seiring dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang merupakan kerangka dasar Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Daripada jumlah sasaran ditetapkan sebanyak 50 peratus atau bersamaan 2,095 unit mestilah kediaman jenis Rumah Mampu Milik (RMM) .

“Ia merangkumi Rumah Kos Rendah/Rumah Bahagia sebanyak 10 peratus begitu juga Rumah Kos Sederhana Rendah/Rumah Sejahtera sebanyak 10 peratus dan masing-masing 15 peratus bagi Rumah Mampu Milik Jenis A dan Jenis B/ Rumah Impian A dan B,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut TPr. Murad lagi, bagi membantu golongan belia khususnya untuk memiliki kediaman sendiri, LPM bersama pemaju turut melaksanakan beberapa inisiatif seperti tawaran memberi diskaun sebanyak 10 peratus.

“Menerusi inisiatif ini pemaju yang bersetuju atau berminat mengambil bahagian akan menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus daripada harga rumah kepada pembeli yang terdiri daripada golongan belia.

“Pendekatian ini antaranya sebagai galakan kepada golongan belia untuk memiliki rumah sendiri selain meringankan beban kewangan mereka dalam mendapatkan kediaman yang selesa dan sesuai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

124
Kongsi :
Previous post KAMPUNG DIGITAL: JPN MASUK KAMPUNG, MUDAHKAN PROSES TUKAR ALAMAT