
KOTA LAKSAMANA MENUJU PEMBANGUNAN LEBIH HOLISTIK
BANDARAYA MELAKA 17 Mei – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana terus mencatat perkembangan positif apabila pelbagai inisiatif pembangunan giat dilaksanakan melibatkan aspek infrastruktur, ekonomi setempat dan kesejahteraan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong berkata, antara fokus utama ketika ini adalah penambahbaikan kemudahan awam, penyelenggaraan jalan raya serta peningkatan sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, pelbagai usaha turut dilaksanakan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat melalui sokongan kepada usahawan kecil dan sederhana.
“Selain itu, kita juga melihat pertumbuhan aktiviti ekonomi melalui sokongan kepada usahawan kecil dan sederhana termasuk program latihan serta bantuan perniagaan.
“Dari sudut sosial pula, pelbagai program komuniti, kebajikan dan pendidikan terus diperkasakan bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat,” katanya ketika bersiaran secara langsung di MelakaFM di sini, pada Khamis.
Beliau yang juga Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi berkaitan dan komuniti setempat menjadi pemangkin utama kepada kemajuan berterusan di kawasan berkenaan.
“Secara keseluruhannya, perkembangan di DUN Kota Laksamana berada pada tahap yang sangat positif dan memberangsangkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

