
MBMB BELI MINYAK MASAK TERPAKAI RM3.20 SEKILOGRAM
AYER KEROH 16 Mei – Sebanyak 2.5 tan minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan menerusi Program Anda Kitar Kami Bayar (AKKB) anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, jumlah itu direkodkan dalam tempoh dua jam penganjuran program yang berlangsung di Dataran Bandaraya MBMB, di sini.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, nilai bayaran kepada peserta mencecah RM8,000 susulan kenaikan kadar pembelian minyak masak terpakai daripada RM3 sekilogram tahun lalu kepada RM3.20 sekilogram pada tahun ini.
“Selain itu turut direkodkan pengumpulan sebanyak 453 kilogram (kg) e-waste, 420kg fabrik, 110kg botol kaca dan tetrapak, 16kg sisa makanan serta 12kg bahan pemulihan al-Quran,” katanya selepas menyempurnakan program berkenaan, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff; Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Nor Zaki Md Nor serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata, program itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan rakan strategik termasuk SWM Environment, SWCorp, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta syarikat kitar semula bateri milik Bumiputera, AstraBattery.
Katanya, AKKB anjuran MBMB terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat sekitar dan ia sekali gus menunjukkan kesedaran terhadap kitar semula semakin meningkat.
“Saya turut mendapati ada peserta yang datang membawa hampir 40 kilogram (kg) minyak masak terpakai dan ini menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kitar semula semakin meningkat.
“Selain membantu mengurangkan pencemaran, rakyat juga mendapat manfaat kewangan menerusi program ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

